Thursday, April 7, 2011

Laporan Projek Junior Chef

1.0       PENGENALAN

Matlamat wawasan negara dapat dicapai melalui masyarakat yang berilmu pengetahuan dan berketerampilan mengaplikasikan pengetahuan matematik. Antara usaha ke arah mencapai wawasan ini, perlu memastikan masyarakat membudayakan matematik dalam kehidupan seharian. Justeru itu, kemahiran penyelesaian masalah dan berkomunikasi dalam matematik perlu dipupuk supaya dapat membuat keputusan dengan berkesan. Matematik merupakan jentera atau penggerak kepada pembangunan dan perkembangan dalam bidang sains dan teknologi. Dengan itu, penguasaan ilmu matematik perlu dipertingkatkan dari masa ke semasa bagi menyediakan tenaga kerja yang sesuai dengan perkembangan dan keperluan membentuk sebuah negara maju. Selaras dengan hasrat untuk mewujudkan sebuah negara yang berorientasikan ekonomi berasaskan pengetahuan, kemahiran penyelidikan dan pembangunan dalam bidang matematik perlu dibina dari peringkat sekolah.
Berasaskan kepada Falsafah Pendidikan Kebangsaan, kurikulum matematik telah diolah dan disusun selaras dengan keperluan untuk menyediakan pengetahuan dan kemahiran matematik kepada murid-murid yang mempunyai latar belakang dan keupayaan yang pelbagai. Dengan pengetahuan dan kemahiran tersebut, mereka berkemampuan untuk meneroka ilmu, membuat adaptasi, modifikasi dan inovasi dalam menghadapi atau menangani perubahan dan cabaran masa depan. Seterusnya dapat merealisasi kerjaya yang cemerlang untuk diri, masyarakat dan negara. Setiap murid diberi galakan dan bimbingan yang seluas-luasnya untuk menguasai kemahiran asas dengan kukuh. Peluang juga disediakan untuk membolehkan mereka mengembangkan bakat dan minat serta daya kreatif dalam bidang tertentu. Di samping itu, kemahiran berfikir dan kemahiran belajar diserapkan dalam pengajaran dan pembelajaran yang menegaskan penguasaan konsep, proses dan bahasa matematik.
Pengajaran dan pembelajaran matematik perlu memberi peluang kepada semua murid untuk mengalami pembelajaran yang seronok, bermakna, berguna dan mencabar. Bagi tujuan ini pelbagai teknik pengajaran dan pembelajaran serta latihan perlu berperingkat, bermakna dan sesuai dengan kebolehan, pengalaman serta minat murid. Pertimbangan juga perlu diberi kepada gaya pembelajaran yang berbeza di kalangan murid. Pendekatan inkuiri penemuan berpusatkan murid digunakan secara meluas untuk menjadikan pengalaman matematik yang menyeronokkan, bermakna, berguna dan mencabar. Pertimbangan yang sewajarnya perlu diberi dalam merancang dan melaksanakan pengajaran dan pembelajaran secara optimum dan berkesan. Pembinaan kefahaman tentang konsep dan kemahiran perlu dibentuk di peringkat awal melalui objek sebenar atau objek konkrit. Pemahaman konsep dan kemahiran ini disusuli pula dengan latihan lisan dan bertulis yang mencukupi.
Bagi mendapatkan pengukuhan dalam penyelesaian masalah, salah satu aktiviti yang didapati berkesan ialah melalui aktiviti berpusatkan murid. Ini dapat dilaksanakan melalui projek. Ia merupakan kemahiran berfikir yang menjana cetusan pemikiran yang sistematik dan logik serta boleh dijadikan satu pendekatan. Pendekatan aktiviti berkumpulan memberi penekanan terhadap perkembangan pemikiran matematik dan keupayaan menaakul yang dilakukan melalui aktiviti konkrit dan berfikrah. Penguasaan kemahiran ini akan membolehkan murid mengaplikasikan dan mengadaptasikan pelbagai strategi yang sesuai untuk menyelesaikan masalah baru. Kejayaan murid bergantung kepada pengalaman, sikap, kepercayaan, kesediaan dan keyakinan diri. Justeru itu, semua aktiviti perlu berasaskan kepada persekitaran dan pengalaman sebenar murid.
Pendidikan matematik perlu menerapkan elemen-elemen yang boleh membentuk individu yang seimbang dan harmonis dari segi ilmu dan sahsiah. Penilaian dilaksanakan secara berterusan bagi mengesan penguasaan hasil pembelajaran serta keberkesanan kaedah pengajaran dan pembelajaran. Bahan pengajaran dan pembelajaran yang digunakan mesti mengandungi unsur diagnostik kendiri supaya murid dapat mengenalpasti tahap mereka memahami sesuatu konsep, menguasai hasil pembelajaran, dan mengamalkan nilai matematik sepanjang pembelajaran di sekolah rendah.
Secara umumnya, tujuan kajian ini adalah untuk meningkatkan minat murid terhadap mata pelajaran matematik dan melatih murid menyelesaikan masalah terutama yang berkaitan dengan kehidupan seharian mereka.

Secara amnya, objektif  kajian yang akan dijalankan adalah seperti berikut :
i.    Sejauh manakah murid dapat memahami dan meningkatkan tahap penguasaan dan pemahaman asas matematik melalui aktiviti menyukat, membuat anggaran dan pengiraan.
ii.    Untuk memberi peluang serta melihat sejauh mana murid dapat menyelesaikan masalah matematik.           
iii.   Pelaksanaan projek secara berkumpulan dapat menarik minat pelajar terhadap mata pelajaran matematik dengan lebih berkesan.
iv.  Murid dapat mengaplikasikan kemahiran yang dipelajari dalam kehidupan seharian serta menyelesaikan masalah yang dihadapi semasa melaksanakan proses tersebut.
v.   Untuk membolehkan guru membuat penambahbaikan terhadap pendekatan yang digunakan dalam pengajaran dan pembelajaran.

Secara khususnya, kajian ini akan cuba menjawab soalan-soalan yang berikut iaitu :
i.      Sejauh manakah murid dapat menukar unit bagi timbangan berat?
ii.     Sejauh manakah pelajar-pelajar dapat menyukat dan membaca alat penimbang dengan tepat?
iii.    Sejauh manakah murid boleh mengira anggaran perbelanjaan dan untung rugi?


2.0       TINJAUAN LITERATUR

Murid perlu dibawa keluar dari kepompong pemikiran yang sempit terhadap matematik kepada bentuk yang lebih praktikal dan analitik yang memerlukan pemahaman konsep. Menurut Biggs (1990), perbezaan ini berlaku kerana proses pembelajaran melibatkan teknik yang kompleks, strategi dan pendekatan yang mana diarah oleh nilai dan sikap yang relevan. Elemen-elemen yang terdapat dalam proses belajar merangkumi motif, matlamat, sumber, kekangan, maklumat kemaskini, kebolehan, strategi pemantauan dan ‘finalising’. Kesemua ini memaparkan satu jaringan kerja yang kompleks yang mana ia akan membawa kepada pendekatan pembelajaran yang berbeza bagi individu. Suasana pengajaran yang sistematik dan harmoni juga merupakan salah satu faktor penting yang menyumbang kepada kejayaan pengajaran dan pembelajaran. Ini dapat membantu murid meningkatkan pencapaian dalam matematik.
Dalam konteks ini, Biggs mengusulkan tiga jenis pendekatan yang dapat dirujuk sebagai pendekatan permukaan, pendekatan dalaman dan pendekatan mencapai. Pendekatan permukaan adalah dari motivasi luaran dan pendekatan ini menggalakkan murid belajar secara mekanikal melebihi belajar  untuk pemahaman. Pendekatan dalaman digunakan apabila seseorang murid adalah dimotivasikan secara dalaman dan gemar menggunakan strategi untuk memaksimumkan pemahaman. Pendekatan mencapai pula didorong oleh motif untuk mencapai kejayaan dan penggalakan penggunaan strategi yang dapat meningkatkan kemahiran belajar yang efektif (Maznah et al, 1998). Sebagai pendidik kita bertanggungjawab untuk membantu setiap pelajar meningkatkan minat dan kecenderungan mereka ke arah pelajaran. Pelajar juga digalakkan membina jalan penyelesaian terhadap sesuatu masalah dengan menggunakan idea dan hipotesis yang telah dibina (Mohd Fadzli, 2001). Keadaan ini boleh dilaksanakan dengan mengambil langkah menggunakan pendekatan pengajaran yang berkesan. Ini termasuklah amalan pembelajaran yang berpusatkan guru kepada amalan pembelajaran berpusatkan pelajar, misalnya dengan menggunakan pendekatan secara berkumpulan. Pendekatan ini mempunyai kelebihan kerana mereka berpeluang berinteraksi di antara satu sama lain dan boleh belajar melalui pengalaman sendiri.
Pelajar-pelajar melakukan aktiviti secara aktif semasa proses pembelajaran dan ini meliputi pengalaman pembelajaran yang dirasai dan dialami sendiri oleh mereka. Aktiviti-aktiviti dirancang sebegitu rupa supaya berpeluang melibatkan diri secara aktif dalam pembelajaran (Pusat Perkembangan Kurikulum 1994). Semasa pelajar-pelajar belajar dalam kumpulan mereka boleh berkongsi pengetahuan (intelek), memupuk nilai-nilai murni (rohani), bertimbangrasa (emosi) serta mempertingkatkan kemahiran berkomunikasi (sosial). Justeru itu, adalah diharapkan apabila pelajar-pelajar yang keluar dari bangku sekolah nanti, akan mencerminkan diri mereka sebagai insan yang menyeluruh dan bersepadu selaras dengan Falsafah Pendidikan Negara. Kaedah kumpulan pelbagai kebolehan memberikan pelajar-pelajar peluang mengamalkan pengajaran sebaya, memupuk semangat kerjasama dan bertimbangrasa, perkembangan sahsiah dan kemahiran sosial (Buku Panduan KBSR 1982).
Pembelajaran matematik KBSR (1993) dirancang supaya mencapai matlamat iaitu untuk meningkatkan pengetahuan, keterampilan dan minat pelajar terhadap matematik. Mereka diharapkan akan berupaya menggunakan matematik secara berkesan dalam penyelesaian masalah serta mempunyai persediaan yang mencukupi bagi melanjutkan pelajaran dan berfungsi secara produktif dalam kerjaya mereka. Bagaimanapun, pencapaian dan minat pelajar terhadap mata pelajaran tersebut tidaklah begitu menggalakkan. Ini mungkin ada kaitan dengan pendekatan pengajaran guru oleh guru-guru itu sendiri. Menurut Byres (1993), kaedah pengajaran  hanya mementingkan pelajar menurut sahaja apa yang disampaikan oleh guru. Proses pembelajaran adalah berbentuk pasif di mana guru menyampaikan pengetahuan dan pelajar menerima dan berusaha mengingati kebanyakan ilmu itu. Peranan guru dalam bilik darjah tidak lebih daripada menyuruh pelajar menggunakan langkah-langkah yang diajar oleh mereka, seterusnya mengikuti apabila menjawab soalan peperiksaan nanti. Hasilnya ramai pelajar yang gagal, benci dan takut kepada mata pelajaran ini. Oleh itu, perlu mewujudkan pendekatan yang berbeza dan menarik dalam pengajaran dan pembelajaran di sekolah. Menyedari hakikat ini, maka sewajarnya guru-guru matematik di sekolah memilih pendekatan pengajaran dan pembelajaran yang boleh menarik minat para pelajar. Noraini (1994) menyatakan di antara faktor-faktor yang boleh menarik minat dan merangsangkan minat seseorang kepada sesuatu perkara iaitu :
·         Pendengar atau pengguna sedar atau tahu bahawa perkara atau benda itu berguna atau berfungsi kepadanya.
·         Ia disampaikan atau dipersembahkan kepadanya dengan cara dan gaya yang menarik.
·         Perkara atau benda itu indah, menggembirakan dan menyeronokkan.

Dengan cara ini mereka tidak adakan merasakan bahawa mereka berhadapan dengan peraturan yang menakutkan bahkan mereka akan merasa seronok sewaktu proses pembelajaran matematik. Justeru itu, guru perlu merancang dan memilih kaedah pengajaran yang sesuai supaya pembelajaran matematik berlaku dalam keadaan yang dapat merangsang minat dan tumpuan serta belajar bersungguh-sungguh. Pendekatan yang menggalakkan pelajar-pelajar belajar dan mencari ilmu sendiri perlu dipupuk di samping guru sebagai pembimbing membimbing supaya mereka lebih ekspresi kendiri yang kreatif. Iklim bilik darjah pembelajaran matematik dibina bertujuan memperkembangkan inovasi pelajar-pelajar  supaya mempunyai lokus kawalan dalaman disebabkan yang menggerakkan mereka ialah dirinya sendiri dan standard yang hendak dicapai juga adalah relatif kepada dirinya sendiri. Pemikiran kritikal dipupuk kerana proses pembelajaran ialah induktif.


3.0       METODOLOGI KAJIAN

Bahagian ini akan membincangkan metodologi projek yang akan digunakan semasa penyelidikan. Perbincangan meliputi rekabentuk kajian, populasi dan sampel projek, instrumen projek dan prosedur pengumpulan maklumat. Projek ini menggunakan rekabentuk kualitatif bagi mencapai objektif projek. Dapatan kajian dipersembahkan melalui pemerhatian dan interaksi secara langsung semasa projek dijalankan.  Berdasarkan pemerhatian dan interaksi secara langsung yang telah dijalankan, kesimpulan tentang sejauhmana murid dapat menyampaikan justifikasi mereka terhadap konsep timbangan berat, anggaran perbelanjaan dan pengiraan untung rugi dalam sesuatu urusniaga berdasarkan pengalaman membuat kek dan menjualnya, sampel kajian terdiri daripada 20 orang ahli Persatuan Matematik dan Sains dari salah sebuah sekolah di Dareah Kuala Kangsar.  Dalam projek ini, murid-murid ini dibahagikan kepada berapa kumpulan. Setiap kumplan akan di beri satu set resipi. Berdasarkan resipi yang diberikan, murid akan membuat pengiraan tentang kos yang perlu dikeluarkan untuk membuat sebiji kek. Seterusnya setiap kumpulan perlu menghasilkan sebiji kek untuk jualan pada hari kantin sekolah. Kek yang telah siapkan perlu dibahagikan kepada 10 bahagian yang sama besar. Sebelum kek itu dijual, mereka perlu berbincang tentang harga jualan yang hendak ditetapkan supaya mereka boleh mendapat keuntungan. Segala proses dalamean kertas cadangan lasanakan projek ini perlu dipersembahkan dalam bentuk folio.


4.0       DAPATAN KAJIAN

Bahagian ini membincangkan tentang dapatan yang telah diperolehi hasil daripada kajian yang telah dijalankan bagi menjawab persoalan kajian. Dalam kajian yang telah dijalankan terhadap 24 orang sampel, didapati bahawa terdapat persamaan dan perbezaan idea di antara pendapat dan hasil kerja responden. Berikut adalah dapatan kajian yang telah dijalankan terhadap responden tersebut :


4.1       Sejauh manakah murid dapat menukar unit bagi timbangan berat?

Untuk menjawab persoalan yang kedua ini, pengkaji mendapati masih terdapat murid yang menghadapi  kesukaran dalam membuat penukaran unit bagi timbangan berat. Berikut adalah hasil dapatan pengkaji berhubung dengan persoalan ini.

Kumpulan 1 :
Didapati ahli kumpulan ini memahami hubungan di antara unit kilogram dan gram, seterusnya boleh menukar unit  yang berkaitan dengan baik.

Kumpulan 2 :
Bagi kumpulan ini pula, didapati mereka mengetahui hubungan di antara unit kilogram dan gram, namun menghadapi kekeliruan dalam menukar unit ini. Oleh yang demikian, pada peringkat permulaan mereka menghadapi masalah dalam membuat penukaran unit. Walau bagaimanapun masalah ini dapat diatasi setelah mendapat bimbingan daripada pengkaji.

Kumpulan 3 :
Daripada pemerhatian pengkaji, didapati kumpulan ini menghadapi sedikit kekeliruan pada peringkat permulaan kerana tidak faham dengan hubungan di antara unit kilogram dan gram. Walau bagaimanapun, mereka akhirnya boleh menukar unit dengan baik tanpa bimbingan daripada pengkaji.



Kumpulan 4 :
Bagi kumpulan terakhir, pengkaji mendapati bahawa mereka faham hubungan di antara unit kilogram dan gram. Oleh itu mereka boleh menukar unit bagi timbangan berat.


4.2      Sejauh manakah pelajar-pelajar dapat menyukat dan membaca alat penimbang dengan tepat?

Untuk menjawab persoalan ini, pengkaji mendapati bahawa setiap kumpulan pelajar cuba menyukat dan membaca alat penimbang melalui perbincangan sesama mereka. Berikut adalah hasil dapatan pengkaji mengenai persoalan yang pertama ini.

Kumpulan 1 :
Kumpulan ini dapat menyukat dan membaca alat penimbang dengan baik walaupun pada peringkat awal mereka didapati agak keliru dengan bacaan yang ingin dibuat. Walau bagaimanapun, melalui perbincangan dalam kumpulan akhirnya mereka boleh membuat bacaan dengan tepat.

Kumpulan 2 :
Bagi kumpulan ini pula, mereka didapati kurang bijak dalam membuat bacaan pada alat penimbang. Masalah ini dapat diatasi dengan bimbingan daripada pengkaji.

Kumpulan 3 :
Kumpulan ketiga ini pula tidak menghadapi sebarang masalah dan mempunyai kemahiran dalam menyukat dan membuat bacaan pada alat penimbang.

Kumpulan 4 :
Seperti kumpulan kedua, kumpulan ini juga menghadapi masalah dalam membuat bacaan pada alat penimbang walaupun setelah berbincang sesama ahli dalam kumpulan. Melalui bimbingan daripada pengkaji akhirnya mereka dapat membuat bacaan dengan tepat.


4.3       Sejauh manakah murid boleh mengira anggaran perbelanjaan dan untung rugi?

Untuk menjawab persoalan ini, pengkaji telah meneliti hasil kerja pengiraan yang dibuat oleh setiap kumpulan. Berdasarkan bilangan kek yang dibuat oleh setiap kumpulan, mereka dikehendaki membuat pengiraan bagi menganggar keuntungan yang bakal diperolehi daripada hasil jualan itu nanti. Di bawah adalah dapatan yang diperolehi daripada setiap kumpulan.

Kumpulan 1 :
Daripada hasil kerja pengiraan kumpulan ini, didapati mereka boleh mengira keuntungan yang bakal diperolehi apabila menjual kek tersebut. Langkah pengiraan dimulakan dengan mengira pendapatan hasil jualan dan diikuti dengan modal yang diperlukan untuk membuat 5 biji kek. Setelah itu, mereka mendapatkan keuntungan keseluruhan.

Kumpulan 2 :
Berdasarkan pengiraan yang dilakukan oleh kumpulan ini, mereka dapat menjalankan pengiraan bagi untung jualan dengan baik. Seperti kumpulan 1, ia dimulakan dengan mengira jumlah pendapatan jualan kek dan kemudian mereka mengira modal yang diperlukan pula. Akhir sekali mereka mengira keuntungan keseluruhan daripada hasil jualan.

Kumpulan 3 :
Bagi kumpulan ini, langkah pengiraan dimulakan dengan mengira modal bagi membuat 5 biji kek dan diikuti dengan mengira pendapatan jika jualan dibuat. Akhir sekali mereka mengira keuntungan yang dijangka daripada jualan kek tersebut. Daripada langkah-langkah pengiraan, didapati kumpulan ini juga boleh menjalankan pengiraan dengan baik.

Kumpulan 4 :
Bagi kumpulan terakhir ini, mereka memulakan pengiraan dengan mencari jumlah pendapatan yang dijangka daripada jualan kek mereka. Ini diikuti pula dengan pengiraan bagi modal yang diperlukan untuk membuat 200 ‘Cup Cake’. Akhir sekali, mereka mengira keuntungan yang bakal diperolehi sekiranya kesemua kek habis dijual.


5.0       PERBINCANGAN DAN KESIMPULAN

Dalam Kurikulum Bersepadu Sekolah Rendah (KBSR) telah dimasukkan kemahiran berkaitan dengan konsep asas timbangan, penukaran unit serta operasi yang  melibatkan konsep timbangan. Begitu juga dengan tajuk Wang, murid diberi pendedahan tentang bagaimana untuk mengira untung dan rugi. Pengajaran secara ‘chalk and talk’ tidak lagi sesuai dalam memberi kefahaman konsep kepada murid. Maka, adalah perlu bagi seseorang guru itu untuk mempelbagaikan aktiviti pengajaran dan pembelajaran. Pertimbangan yang sewajarnya perlu diberi dalam merancang dan melaksanakan pengajaran dan pembelajaran secara optimum dan berkesan. Pembinaan kefahaman tentang konsep dan kemahiran perlu dibentuk di peringkat awal melalui objek sebenar atau objek konkrit serta melalui aktiviti yang menarik dan menyeronokkan. Pemahaman konsep dan kemahiran ini disusuli pula dengan latihan secara lisan dan bertulis yang mencukupi.
Proses pengajaran dan pembelajaran dalam matematik menegaskan pembinaan konsep dan penguasaan kemahiran dalam setiap tajuk dan akhirnya dapat menyelesaikan masalah yang berkaitan. Dengan demikian, unsur-unsur seperti penyelesaian masalah dan komunikasi dalam matematik perlu diberi penekanan yang lebih bagi membolehkan murid mengaplikasikan pengetahuan dan kemahiran matematik dalam menyelesaikan masalah dan membuat keputusan. Penyelesaian masalah merupakan fokus utama dalam pengajaran dan pembelajaran matematik. Oleh itu, proses pengajaran dan pembelajaran perlu melibatkan kemahiran penyelesaian masalah secara komprehensif dan merentasi keseluruhan kurikulum. Perkembangan kemahiran penyelesaian masalah perlu diberi penekanan sewajarnya supaya murid dapat menyelesaikan pelbagai masalah secara berkesan. Kepelbagaian penggunaan strategi umum dalam penyelesaian masalah, termasuk langkah-langkah penyelesaiannya harus diperluaskan lagi penggunaannya dalam mata pelajaran  matematik. Dalam menjalankan aktiviti pembelajaran untuk membina kemahiran penyelesaian masalah ini, murid perlu diperkenalkan dengan masalah yang berasaskan aktiviti manusia seperti kerja projek dan sebagainya. Melalui aktiviti ini, murid dapat menggunakan matematik apabila berdepan dengan situasi yang baru dan dapat memperkukuhkan diri apabila berdepan dengan pelbagai situasi harian yang lebih mencabar.
Semasa menjalankan kerja projek ini, pengkaji mendapati bahawa murid dapat memberi kerjasama dalam kumpulan masing-masing dan ianya dapat mewujudkan suasana pembelajaran yang menyeronokkan. Ini adalah kerana mereka saling berinteraksi untuk sama-sama menyelesaikan masalah yang diberi kepaada mereka. Melalui aktiviti berkumpulan seperti ini ianya dapat menggalakkan kerjasama antara pelajar yang berbeza tahap kebolehan. Dapatan kajian ini diharapkan dapat mengubah persepsi bahawa matematik adalah satu mata pelajaran yang sukar yang mana hanya murid berkebolehan tinggi sahaja yang boleh berjaya. Seterusnya lebih ramai murid yang akan berminat mendalami bidang matematik dan pada masa yang sama prestasi murid secara keseluruhannya meningkat dengan baik. Adalah diharapkan juga dengan kajian ini akan membantu guru menjadikan aktiviti secara berkumpulan sebagai alternatif  kepada strategi pengajaran dan pembelajaran yang sedia ada di dalam melahirkan individu berupaya menjadi anggota masyarakat yang seimbang dalam aspek intelek dan emosi.

6.0       CADANGAN

Dalam menyiapkan kerja projek ini, murid telah diagihkan kepada beberapa kumpulan yang terdiri daripada 5 orang. Dengan kumpulan-kumpulan kecil ini adalah diharapkan mereka dapat bekerjasama sebagai satu pasukan. Aktiviti yang menyeronokkan seperti ini seharusnya selalu dirancang oleh guru kerana ianya dapat menarik minat murid-murid mempelajari matematik. Dalam aktiviti yang telah dijalankan terdapat juga kekangan yang dihadapi contohnya, kekurangan peralatan untuk murid-murid menjalankan aktiviti. Oleh itu, pengkaji mengesyorkan supaya penambahbaikan dapat dibuat di dalam proses pengajaran dan pembelajaran agar murid dapat sama-sama mencuba untuk membuat sukatan dan ukuran. Aktiviti yang lebih menarik mungkin boleh dilaksanakan bagi memastikan murid lebih meminati matematik seterusnya menyumbang kepada pencapaian yang lebih baik.

No comments:

Post a Comment