Sunday, April 3, 2011

Key Issues and Problems in Gifted Children

Pengenalan
Pintar cerdas boleh membawa maksud yang pelbagai mengikut persepsi seseorang individu itu, berbeza juga dari pandangan masyarakat dan pandangan kanak-kanak itu sendiri. Mengikut negara barat, maksud pintar cerdas  adalah mereka yang mempunyai potensi dan pencapaian yang tinggi dari segi bidang seperti intelektual, kreativiti, artistik, kebolehan kepimpinan dan mempunyai bakat dalam bidang muzik dan seni yang mengkagumkan serta mereka ini memerlukan aktiviti dan perkhidmatan lain dari yang lain yang tidak terdapat di sekolah biasa untuk memenuhi tahap keupayaan akademik dan potensi mereka.

Seperti kanak-kanak yang lain, mereka yang pintar cerdas belajar melalui interaksi. Pengalaman yang diperolehi akan digunakan sebagai proses mengumpul maklumat untuk mencari identiti mereka sebagai pelajar. Adakalanya, kanak-kanak pintar cerdas mengandaikan bahawa kanak-kanak lain juga adalah seperti mereka, sehinggalah mereka masuk ke alam persekolahan dan mendapati bahawa mereka mempunyai keupayaan yang tersendiri.

Kesedaran mengenai perbezaan kanak-kanak ini dari kanak-kanak yang lain boleh juga bermula dari awal lagi. Adalah penting untuk  mempertimbangkan bagaimana cara kita bertindak atau respon pada kanak-kanak di bawah jagaan kita yang ‘berbeza’kerana ini merupakan impak yang besar terhadap identiti kanak-kanak itu sendiri.

Kita mungkin berfikir bahawa menjadi kanak-kanak pintar cerdas merupakan sesuatu yang baik untuk diperkatakan kerana ini menunjukkan bahawa kanak-kanak itu sangat bagus dalam sesuatu bidang. Walau bagaimanapun, perkara ini boleh menjadi suatu masalah pada kanak-kanak tersebut, kawan-kawan, rakan dan guru.


Silverman (1993) menyediakan satu generalisasi berguna yang dikaitkan dengan sifat-sifat personality kanak-kanak pintar cerdas dan berbakat. Bukan kesemua ciri-ciri ini eksklusif untuk kanak-kanak pintar cerdas dan berbakat tetapi mereka memiliki satu tahap yang lebih tinggi daripada pelajar biasa.

Sifat-sifat Intelektual
Sifat-sifat Personaliti
·         Keupayaan penaakulan luar biasa
·         Sifat ingin tahu yang tinggi
·         Kadar pembelajaran cepat
·         Kemudahan untuk pengabstrakan
·         Kadar pembelajaran cepat
·         Proses-proses pemikiran kompleks
·         Imiginasi yang tinggi
·         Keprihatinan moral yang awal
·         Sangat meminati pembelajaran
·         Tahap tumpuan yang lama
·         Pemikiran analitikal
·         Pemikiran divergen/kreatif
·         Mementingkan keadilan
·         Kemampuan refleksi
·         Berwawasan
·         Perlu untuk difahami
·         Perlukan peransangan mental
·         Mementingkan kesempurnaan
·         Perlukan ketepatan/logic
·         Suka berjenaka
·         Sensitivity/ empati
·         Keamatan yang tinggi
·         Tabah
·         Kesedaran diri yang tinggi
·         Tidak konformis/tidak bersependapat
·         Berautoriti
·         Kecenderungan untuk introvet

Bukan semua ciri-ciri kanak-kanak pintar cerdas dan berbakat dilihat sebagai positif. Davis dan Rimm (1998) menyenaraikan ciri negatif di mana ciri-ciri ini sering dipamerkan oleh kanak-kanak pintar cerdas yang kurang pencapaian dan mempunyai masalah dalam pencapaian:
·         Degil
·         Tidak menyertai aktiviti-aktiviti kelas
·         Tidak memberi kerjasama
·         Kesinisan
·         Selekeh dan tidak teratur
·         Cenderung untuk mempersoalkan kuasa
·         Kekecewaan emosional
·         Sifat pelupa

Terdapat pola yang berbeza-beza dijumpai dalam ciri-ciri kanak-kanak pintar cerdas dan berbakat kerana mereka berbeza dalam tahap intelektual, keupayaan-keupayaan khusus dan tahap kegiatan mental (Silverman,1993). Tahap kecerdasan kanak-kanak yang lebih tinggi cenderung menunjukkan lebih keamatan dan tenaga (Clark,2002). Bukan semua kanak-kanak akan mempamerkan kesemua ciri-ciri ini sepanjang masa. Banyak kriteria diperlukan untuk mengenal pasti kanak-kanak pintar cerdas dan berbakat kerana mereka adalah individu yang berbeza-beza.

Terdapat enam jenis kanak-kanak pintar cerdas dan berbakat yang telah dikenal pasti            ( Betts & Neihart, 1988). Jenis pertama, kanak-kanak pintar cerdas dan berbakat yang paling senang dikenal pasti adalah mereka yang berbakat. Kanak-kanak dari kategori ini disukai guru dan rakan-rakan sebaya serta mencapai hasil tahap yang tinggi. Mereka lebih suka bergantung pada orang lain berbanding berdikari. Mereka juga tidak suka mengambil risiko, selain itu, mereka juga tidak suka mengembangkan autonomi dan sebenarnya mereka boleh mencapai sesuatu dengan lebih tinggi jika mereka lebih menentukan diri sendiri.

Jenis kedua ialah pencabar. Biasanya kanak-kanak ini lebih kreatif. Kekurangan sokongan untuk kanak-kanak yang kreatif boleh mengakibatkan tingkah laku yang degil dan memberi cabaran-cabaran untuk guru dan ibu bapa.

Jenis ketiga ialah kanak-kanak ‘bawah tanah’ atau bersembunyi di mana kanak-kanak cuba untuk menyembunyikan kepintaran mereka. Kebiasaan kanak-kanak jenis ini adalah kanak-kanak perempuan yang sedang bersekolah. Mereka sering berasa cemas dan tidak selamat. Hal ini terjadi kerana satu konflik dialami antara sosial dan kejayaan akademik.

Jenis keempat adalah kanak-kanak yang keciciran. Kanak-kanak ini mempunyai pencapaian rendah sepanjang masa dan memerlukan program sokongan yang cukup banyak untuk meningkatkan pencapaian pendidikan. Pencapaian rendah boleh dihasilkan disebabkan mereka tidak mempunyai dorongan motivasi yang dipengaruhi oleh program-program yang tidak sesuai untuk mereka.

Jenis kelima dipanggil label berganda iaitu kanak-kanak yang mempunyai kesulitan pembelajaran fizikal atau emosional. Oleh itu, mereka kurang diberi perhatian dan potensi serta bakat mereka dibiarkan, misalnya, seorang kanak-kanak pintar cerdas yang kurang upaya dari aspek fizikal mungkin kecerdikan yang dimilikinya tidak dipeduli oleh orang lain kerana dilabel sebagai seorang kurang upaya.

Jenis keenam ialah kanak-kanak berautonomi. Kanak-kanak jenis ini ialah kanak-kanak yang mempunyai cara tersendiri dan tidak bergantung pada orang lain. Kanak-kanak ini akan terus berkembang jika terdapat program-program pendidikan yang bersesuaian disediakan untuk mereka (Betts & Neihart, 1988).

Perkembangan Kanak-kanak Dari Aspek Emosi
The Oxford Dictionary of Current English (1986) menyatakan emosi sebagai perasaan yang kuat dari dalam terutamanya daripada aspek mental atau naluri, seperti kasih sayang ataupun takut. Justeru itu bolehlah disimpulkan emosi sebagai salah satu daripada ciri jiwa manusia yang boleh mempamerkan perasaan yang kuat yang berpunca daripada psikologi atau mental seseorang dan emosi boleh berlaku secara naluri bergantung pada sesuatu situasi. Ibrahim Mamat (1997), menyatakan emosi adalah perasaan jiwa yang kuat yang dialami oleh seseorang dalam tindak balasnya terhadap sesuatu ransangan. Adakalanya ia boleh berbentuk positif seperti riang, gembira, seronok dan kasih dan adakalanya ia berbentuk negatif seperti sedih, marah, benci dan dendam. Menurut Gessel, emosi seseorang individu adalah semula jadi. Contohnya, tangisan mendayu-dayu meminta supaya ibu memeluknya. Menurut Havighurst pula,emosi seseorang adalah dipengaruhi oleh alam sekitarnya. (Suppiah Nachiappan, 2008)

Perkembangan emosi ini akan berlaku kepada kanak-kanak secara dua peringkat iaitu peringkat emosi idea dan juga emosi pemikiran. Secara umumnya emosi idea ini menggambarkan bahawa ekspresi penyampaian emosi adalah berada di peringkat permulaan. Manusia menyampaikan emosinya secara tidak sedar dan ia keluar daripada naluri semula jadi bawah sedar. Seorang kanak-kanak dapat merasakan sesuatu perasaan tetapi tidak dapat menyatakan mengapa, bagaimana dan siapa yang menyebabkan timbulnya perasaan  tersebut. Emosi yang disampaikan dalam bentuk tindak balas gerakan fizikal (Azleena & Zainal, 2004).

Masalah Sosio Emosi Kanak-kanak Pintar Cerdas
Di sebalik kebolehan intelektual kanak-kanak pintar cerdas, kadang-kadang timbul konflik perasaan yang wujud di kalangan kanak-kanak ini. Bijak tidak semestinya lebih ceria, lebih sihat, lebih berjaya atau boleh menyesuaikan diri.

Kanak-kanak pintar cerdas di katakan mengalami perkembangan asynchronous apabila perkembangan  fizikal, intelek, emosi dan sosialnya tidak sekata dan setara dengan usianya. Sebagai contoh kanak-kanak berumur enam tahun yang mempamerkan tingkah laku yang setara dengan usia tetapi mempunyai kemampuan intelek seperti kanak-kanak dua belas tahun atau kanak-kanak yang menunjukkan perkembangan sosialnya yang setara dengan umur sepuluh tahun tetapi mungkin mempunyai tahap emosi seperti enam tahun. Akibat dari perkembangan yang tidak sekata ini, kanak-kanak pintar cerdas yang boleh memahami secara intelek mengenai perkara abstrak yang lebih tinggi dari kemampuan rakan sebayanya, di dapati tidak mampu menangani perkara yang melibatkan emosi pada tahap ini.  Ketidakmatangan kanak-kanak ini dalam menangani isu emosi pada usia yang muda akan membawa mereka kearah kebimbangan terhadap kematian, masa hadapan, sexual dan isu lain yang lebih tinggi dari tahap perkembangan emosi sebenar mereka.

Ini tidak ketinggalan dalam aspek perkembangan fizikal kanak-kanak pintar cerdas ini yang bakal membatasi pergerakan atau kemampuan mengerjakan serta menyelesaikan sesuatu tugasan yang dirasakannya begitu mudah diselesaikan dalam gambaran intelek mereka. Kanak-kanak ini juga lebih gemar melibatkan diri dengan perbualan dengan orang dewasa mengenai isu-isu global dan mampu berdebat dengan baik dalam menyuarakan pendapat atau pandangan mereka dalam isu tersebut. Tetapi dalam segi aspek emosi, mereka akan menangis atau merajuk sekiranya mereka berebut ketika bermain ataupun alat  permainan mereka diambil oleh seseorang.

Sikap mementingkan kesempurnaan yang tinggi boleh mendorong kanak-kanak ini kearah takut kepada kegagalan. Ini akan menjadikan mereka seorang cepat berputus asa kerana tidak mampu melaksanakan tugasan dalam tempoh yang ditetapkan. Kanak-kanak ini memerlukan maklumat yang lengkap sebelum menjawab sesuatu soalan atau menyiapkan tugasan yang diberikan. Mereka lebih suka meluangkan masa mereka melakukan aktiviti yang mereka sukai seperti membaca atau menyelesaikan masalah dari bersosial dengan rakan sebaya yang dianggap tidak setara dari aspek perkembangan intelek.

Selain dari itu, kanak-kanak ini mempunyai perasaan sensitif yang tinggi terhadap perkara yang melampaui tahap pemikirannya yang masih muda seperti isu peperangan, kebuluran, pencemaran, ketidakadilan dan keganasan. Malangnya, jika mereka terlampau memikirkan isu global ini secara mendalam, mereka akan menjadi seorang yang introvert dan mungkin menjurus kearah kemurungan yang teruk di masa akan datang.
Akibat dari perkembangan intelek yang tidak setara dengan rakan sebaya, kanak-kanak ini akan menghadapi masalah sosial dan emosi bukan sahaja dengan rakan sebaya tetapi juga dalam kalangan orang dewasa yang setara dengan tahap inteleknya. Tahap kepintaran yang tinggi ini menyebabkan mereka tidak dapat memanfaatkan sepenuhnya sistem pendidikan sedia ada di sekolah. Keadaan ini berlaku kerana keperluan dan tahap motivasi mereka berbeza dengan rakan sebaya iaitu perkembangan kebolehan intelek yang jauh lebih tinggi. Perbezaan ini menimbulkan beberapa konflik dalam hidup mereka terutamanya dari aspek pendidikan yang sesuai dengan kepintaran mereka dan juga perkembangan sosial dan emosi yang setara dengan usia mereka.

Biasanya, semakin tinggi tahap kecerdasan seseorang maka semakin tinggilah keperluan kaunseling yang patut diberikan kepadanya (Davis & Rimm. 1998). Kanak-kanak pintar cerdas adalah satu golongan yang heterogeneous. Mereka yang lebih tinggi tahap kecerdasannya berbanding kanak-kanak lain menghadapi masalah dalam penyesuaian diri dengan rakan sebaya (Bee,2000). Ini adalah kerana sebahagian daripada mereka memiliki ciri-ciri yang selalunya wujud apabila meningkat dewasa. Disebabkan mereka ini matang dalam beberapa aspek berbanding dengan rakan sebaya yang lain , maka mereka lebih selesa dengan orang yang lebih berumur dari mereka tetapi mempunyai tahap kepintaran yang sama dengan mereka.

Sungguhpun begitu, ketika berdepan dengan masalah perbezaan tersebut, kanak-kanak ini akan mengalami kemurungan kerana gagal menghadapi kemahiran sosial yang sesuai dengan tahap kepintaran mereka. Oleh itu ada di antara mereka menggunakan strategi  yang kurang bijak seperti berpura-pura tidak bijak dengan  berusaha tidak mencapai tahap pencapaian yang sebenarnya. Selain itu mereka juga akan melupakan keperluan sosial dengan memilih untuk tidak berkomunikasi atau berinteraksi dengan rakan sebaya. (RImm , 2008). Keadaan ini membawa kepada satu masalah sosial dan emosi kanak-kanak pintar cerdas yang menuntut perhatian dari ibu bapa di rumah dan juga  guru di sekolah.

Penutup
Kesimpulannya, pelajar pintar cerdas adalah sekelompok individu yang bukan sahaja berfikir sebaya mereka. Sehubungan itu, mereka terdedah kepada pelbagai isu sosio-emosi  di mana perasaan sensitif dan rasa keterasingan (isolation) melampau, tahap daya saing (competitiveness) dan kesempurnaan (perfectionism) yang tinggi, kesukaran berinteraksi dan membina perhubungan dengan ahli keluarga dan rakan sebaya, pemilihan konsep kendiri serta kemairan sosial yang rendah. Secara tidak langsung, situasi ini berpotensi memberikan tekanan kepada kehidupan seharian mereka. Sekiranya tekanan ini mampu ditangani dengan baik, kanak-kanak pintar cerdas ini akan berupaya menyesuaikan diri dalam persekitaran sosial dan seterusnya menjalani kehidupan dengan harmoni  dan selesa.

Walau bagaimanapun, sekiranya mereka gagal, ia berkemungkinan akan menjurus kepada kemungkinan untuk mensia-siakan anugerah yang dimiliki dalam pelbagai situasi negatif seperti kegagalan meneruskan kecemerlangan ataupun penglibatan dalam gejala kurang sihat sebagai reaksi kepada pemberontakan emosi yang mereka alami. Kanak-kanak ini perlu dibimbing dalam segala aspek berkaitan dalam hidup mereka agar dapat mengimbangi tahap kepintaran atau kecerdasan intelektual mereka dengan wibawa diri yang dilengkapi dengan kestabilan mental dan emosi, serta tidak menyalahi norma-norma sosial masyarakat umum. Program pendidikan pintar cerdas di Malaysia haruslah dibangun berpaksikan matlamat menyerlahkan potensi diri pelajar pintar cerdas secara maksimum tanpa mengabaikan dimensi psikologi, sosio-emosi dan rohani agar menjadi generasi berminda kelas pertama Malaysia.  






RUJUKAN
Bee.H.L.(2000). The Developing Child.9th Edition. Allyn & Bacon: P New York.
Betts,G.T. & Neihart,M.(1988). Profiles of the gifted and talented. Gifted Child Quarterly, 32(2),248-253.
Clark,B.(2002). Growing up gifted: Developing the potential of children at home and at school (6th ed). Upper Saddler,NJ: Pearson.
Davis,G. & Rimm, S. (1998). Education of the gifted and talented (4th ed.). Boston:Allyn & Bacon.
Ibrahim Mamat. (1997). Memimpin Remaja Sekolah Teori dan Praktik: Kumpulan Budiman Sdn.Bhd.
Silverman, L.K.(1993).A development model for counselling the gifted. In L.K. Silverman(Ed), Counseling the gifted and talented (pp.51-78). Denver:Love Publishing Company.
Suppiah Nachiappan, Ramlah Jantan, Abdul Aziz Abdul Shukor (2008). Psikologi Pendidikan, Oxford Fajar Sdn.Bhd.
The Little Oxford Dictionary of Current English (1986). Oxford:Clarendon Press.

No comments:

Post a Comment